
Sapura Resources Bhd membuat laporan polis susulan aduan rasmi dikemukakan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung kemungkinan pelanggaran Akta Syarikat 2016 membabitkan bekas Pengarah Urusannya, Datuk Shahriman Shamsuddin.
Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia pada 10 Mac syarikat itu memaklumkan selepas siasatan dalaman terhadap Shahriman selesai, laporan akhir siasatan telah diserahkan kepada Bursa Malaysia Securities Bhd sebagai maklum balas terhadap permintaan unit pemantauan korporat Bursa Malaysia.
Berikutan penyerahan laporan itu, Sapura telah mengemukakan aduan rasmi kepada SSM mengenai kemungkinan pelanggaran Akta Syarikat 2016 berkaitan konflik kepentingan, selaras komitmen syarikat untuk memastikan pematuhan terhadap semua kewajipan peraturan berkaitan.
“Sebagai sebahagian daripada proses SSM dalam mengendalikan aduan sedemikian, SSM mengkehendaki syarikat untuk membuat laporan polis berkaitan perkara yang dibangkitkan dalam aduan berkenaan. Syarikat telah mematuhi sepenuhnya keperluan ini,” menurut kenyataan itu.
Sapura memaklumkan walaupun siasatan dalaman serta penyerahan laporan akhir kepada Bursa Malaysia dan SSM telah selesai, kandungan laporan terbabit tidak akan didedahkan buat masa ini.
“Langkah ini bagi memastikan integriti semakan kawal selia yang sedang berlangsung serta mengelakkan sebarang pendedahan awal yang boleh menjejaskan atau mengganggu proses dikendalikan pihak berkuasa berkaitan.
“Laporan itu mengandungi maklumat bersifat sensitif dari segi undang-undang, dan pendedahan kepada umum boleh menjejaskan siasatan yang sedang berjalan, kerahsiaan, hak undang-undang serta kepentingan syarikat,” menurut kenyataan itu lagi.
Sapura menegaskan komitmennya untuk mematuhi semua keperluan pendedahan ditetapkan, sekali gus memberi jaminan kepada pemegang saham bahawa sebarang perkembangan penting yang memerlukan pendedahan bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia akan dimaklumkan segera.
Selain itu, syarikat sedang menilai semua pilihan perundangan tersedia dan akan mengambil tindakan lanjut berdasarkan nasihat daripada penasihat undang-undang bagi memastikan kepentingan terbaik syarikat serta pemegang kepentingannya.
Salah guna kuasa Dato’ Shahriman
November tahun lalu The Corporate Secret menerima emel daripada pekerja Sapura berhubung kebimbangan mereka mengenai salah guna kuasa dan penyelewengan wang Dato’ Shahriman Shamsuddin yang bakal melenyapkan 6000 pekerjaan dalam Sapura Group.
Pada Julai 2023, Sapura Resources Berhad (SAPRES) memilih untuk keluar dari divisyen penyelenggaraan, pembaikan, dan baik pulih (MRO) dengan menjual kepentingannya kepada RoyalJet LLC namun perjanjian itu dibatalkan kerana didalangi oleh Dato’ Shahriman. SAPRES akhirnya membentuk kerjasama dengan Subang MRO Sdn Bhd, bertujuan mengukuhkan kehadiran perkhidmatan penerbangannya di LTSAAS Subang. Konflik kepentingan berlaku apabila lembaga pengarah sebuah syarikat pesaing, Explorer Group atau Explorer Sdn Bhd adalah milik Dato’ Shahriman sendiri.
Bukan itu sahaja beliau melantik seorang kakitangan wanita yang tidak berkelayakan untuk menjadi pembantu peribadi beliau dengan gaji yang amat tinggi tetapi wanita tersebut ditempatkan untuk bekerja di syarikat Explorer Sdn Bhd yang telah mencetuskan konflik kepentingan kepada perniagaan syarikat.

SAPRES mengambil keputusan untuk meletakkan Dato’ Shahriman dalam “garden leave” pada September 2024, susulan dakwaan bahawa beliau telah menghalang penjualan awal SAPRES kepada RoyalJet.

Kegilaan Dato’ Shahriman makin menjadi apabila beliau petisyen pada September 2024 untuk membubarkan Sapura Holdings, kenderaan pelaburan keluarga, yang dikatakan bertindak sebagai balasan terhadap siasatan SAPRES terhadap beliau. Konflik selanjutnya timbul mengenai penilaian aset, apabila Dato’ Shahriman menuntut pembayaran yang jauh lebih tinggi berbanding anggaran yang disediakan oleh juruaudit luar. Beliau tidak berjaya untuk menyelesaikan secara aman isu pembahagian aset bersama abang kandung beliau, Tan Sri Shahril Shamsuddin yang turut merupakan pemegang besar saham syarikat.
Pertelingkahan ini telah mencetuskan seruan agar penyelesaian segera dicapai bagi memastikan kesinambungan kumpulan dan melindungi kelangsungan hidup pekerja seramai lebih 6,000 orang tidak termasuk ratusan pihak Vendor yang bakal terkesan sekiranya petisyen Dato’ Shahriman untuk membubarkan Sapura Holding berjaya dicapai.