Malakoff Corporation Bhd (Malakoff) mengumumkan Che Khalib Mohamad Noh, 59, akan menggantikan Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali sebagai pengerusi syarikat, berkuat kuasa Januari 2025, selepas kontrak tiga tahunnya berakhir.
Che Khalib kini menyandang jawatan Naib Pengerusi Eksekutif Malakoff.
“Beliau juga adalah Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corp Bhd dan sebelum ini berkhidmat dalam industri tenaga sebagai Presiden dan CEO Tenaga Nasional Bhd selama lapan tahun bermula dari tahun 2004.
“Selain itu, beliau turut berkhidmat di lembaga pengarah beberapa syarikat, termasuk Gas Malaysia Bhd, Johor Port Bhd dan Bank Muamalat Malaysia Bhd,” jelas Malakoff dalam pengisytiharan kepada bursa, semalam.
Che Khalib memulakan kerjayanya dengan Ernst & Young pada tahun 1989 sebelum bersama Bumiputra Merchant Bankers Bhd.
Beliau telah memegang pelbagai jawatan di beberapa syarikat tersenarai lain, termasuk Kumpulan Renong, Ranhill Utilities Bhd, KUB Malaysia Bhd dan kemudiannya DRB-Hicom Bhd sebagai ketua pegawai operasi untuk kewangan, strategi dan perancangan.
Beliau juga pernah menjadi ahli lembaga pengarah dan jawatankuasa eksekutif dana kekayaan negara Khazanah Nasional Bhd dari tahun 2000 hingga 2004, serta berkhidmat di lembaga pengarah United Engineers Malaysia Group dan Bank Industri & Teknologi Malaysia Bhd.
Menurut pengisytiharan tersebut, Che Khalib memiliki 420,000 saham dalam Malakoff, manakala Tajuddin memiliki 50,000 saham.
Malakoff mencatatkan keuntungan bersih RM58.75 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2024 (3QFY2024),berbanding kerugian bersih RM109.42 juta pada suku yang sama tahun lalu.
Prestasi yang meningkat itu disumbangkan oleh penurunan kos purata arang batu berikutan harga arang batu global yang stabil, ditambah dengan penyelesaian tuntutan insurans akhir Tanjung Bin Energy Sdn Bhd berkaitan dengan kerosakan bilah turbin pada November 2021.
Hasil bagi tiga bulan tersebut meningkat 3% tahun ke tahun kepada RM2.22 bilion, berbanding RM2.15 bilion.
Saham Malakoff ditutup dengan kenaikan satu sen atau 1.3% kepada 78.5 sen semalam, menjadikan nilai syarikat tersebut sebanyak RM3.93 bilion.