Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih meneruskan siasatan membabitkan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin.
Dalam satu kenyataan SPRM memaklumkan pada Februari 2023, pihaknya membuka beberapa kertas siasatan berdasarkan maklumat yang ditemui dalam Pandora Papers.
Katanya, siasatan ke atas maklumat dalam Pandora Papers membawa kepada siasatan terhadap Kementerian Kewangan pada masa itu dengan Daim memegang jawatan sebagai menteri.
“Seperti yang dinyatakan dalam Kenyataan Media SPRM bertarikh 30 Disember 2023, satu notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 dikeluarkan kepada Daim pada 7 Jun 2023.
“Notis ini mengkehendaki beliau mengisytiharkan semua aset miliknya di dalam dan luar negara secara bertulis dan melalui akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis.
“Daim memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali, dan SPRM memberikan lanjutan pada 6 Julai 2023, 10 Ogos 2023, 11 September 2023, 11 Oktober 2023, dan terakhir pada 14 November 2023 untuk melengkapkan pengisytiharan aset tersebut.
“Pada 29 Januari 2024, Daim didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 atas pertuduhan gagal mematuhi notis yang terakhir iaitu 14 November 2023, dengan tidak mengisytiharkan kira-kira 70 aset harta dan satu akaun bank,” katanya.
SPRM berkata kenyataan media ini bertujuan memperjelas dan membetulkan dakwaan yang tidak berasas dan mengelirukan di media serta media sosial berkaitan isu berkenaan.
Selepas Daim meninggal dunia pada 20 November lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Allahyraham daripada pertuduhan gagal mematuhi notis itu mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah.
Bagaimanapun, SPRM berkata, siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) berkaitan kes ini masih diteruskan.
Katanya, siasatan itu turut membabitkan isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Kadir, serta ahli-ahli keluarga beliau dengan siasatan tertumpu kepada perolehan aset-aset di luar negara.
“Penyelidikan jejak kewangan di luar negara sedang giat dijalankan dengan kerjasama agensi-agensi antarabangsa.
SPRM meminta masyarakat agar tidak membuat spekulasi berhubung kes ini dan memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka tanpa sebarang gangguan.
Isteri Daim cabar teruskan kes
Pada 19 November Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin mahu pendakwaan membabitkan kegagalan mengisytiharkan harta dihadapi arwah suaminya itu diteruskan supaya keadilan terhadap pemimpin itu terbela.
Nai’mah Abdul Khalid berkata, menjadi hasrat arwah suaminya supaya perbicaraan itu diteruskan di mahkamah sehingga tamat walau apapun terjadi.
“Daim sentiasa ternanti-nanti harinya di mahkamah dan penuh yakin akhirnya beliau akan dibuktikan tidak bersalah.
“Tidak ada keperluan untuk Peguam Negara mahupun Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyemak semula, memberhentikan atau menarik balik pendakwaan terhadap Daim,” katanya
Bagaimanapun Daim dah meninggal dunia tidak mungkin lagi berada dalam kandang mahkamah namun pertuduhan untuk Naimah diteruskan dan segala aset Daim terus disiasat.