Pengerusi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd Ali, bersama 18 yang lain direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin membenarkan permohonan polis untuk menahan reman suspek hingga 25 September ini untuk membantu siasatan.
Semua suspek berusia lingkungan 25 hingga 65 tahun terdiri 12 lelaki dan tujuh wanita akan ditempatkan di Lokap Berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan Nasiruddin bersama beberapa pemimpin kanan termasuk isteri dan dua anaknya ditahan polis dalam Op Global susulan laporan rumah amal kendalian syarikat itu yang didakwa melakukan penderaan, pengabaian serta salah laku seksual.
Mereka ditahan jam 5.40 pagi tadi selepas serbuan dibuat terhadap empat unit kondominium di Kuala Lumpur.
Operasi dijalankan pasukan Bahagian Operasi Khas (D8), Pasukan Khas Siasatan Bersepadu (PKSB) dan Bahagian Siasatan Jenayah Terancang (D14) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 32 (a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) (Pindaan) 2022.
Terdahulu BH melaporkan polis mengesahkan lima suspek ditahan di Bukit Kayu Hitam, Kedah dalam perjalanan ke Thailand dengan menggunakan kenderaan rekreasi (motorhome) berlogo GISBH direman tujuh hari, bermula hari ini.
Perintah reman terhadap semua mereka berusia 30 sehingga 41 tahun itu dilakukan sebaik permohonan dibuat polis di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor hari ini.
Razarudin berkata, mereka direman bagi melengkapkan siasatan yang sedang dilakukan polis terhadap syarikat berkenaan.
“Reman bermula hari ini sehingga Rabu ini (25 September),” katanya.
Sebelum ini polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi di 20 rumah kebajikan dikaitkan syarikat itu di Selangor dan Negeri Sembilan dalam Op Global pada 10 September lalu.
Razarudin sebelum ini memaklumkan ujian saringan kesihatan terhadap 392 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal GISBH dalam Op Global itu mendapati mereka mengalami penderaan fizikal dan emosi serta eksploitasi buruh, termasuk dipaksa bekerja menjual barang.
PDRM juga sudah membekukan 96 akaun milik syarikat terbabit bernilai lebih setengah juta ringgit.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Selasa lalu menitahkan PDRM supaya menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan rumah amal GISBH.