Serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terhadap YTL Communications Sdn Bhd (YTL Comms) pada 4 April lalu melibatkan projek 1Bestarinet telah mencetuskan kontroversi baru terhadap YTL.
Saham YTL Corporation Bhd dan YTL Power International Bhd jatuh 23 sen kepada RM2.77 manakala YTL Power susut 18 sen kepada RM3.71 sehari selepas serbuan SPRM
Media melaporkan siasatan SPRM terhadap YTL berkisar tuntutan butiran matan palsu RM2.7 bilion, kos melampau dan kaitan projek 1Bestarinet dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin bekas Menteri Pendidikan yang melaksanakan projek itu bermula fasa pertama.
Apa yang berlaku kepada YTL adalah karma daripada isu kontroversi rasuah di Ranhill Utilities Bhd melalui anak syarikatnya Ranhill SAJ Sdn Bhd mei lalu menyebabkan syarikat itu jatuh ke tangan YTL Power International Bhd. YTL dalang disebalik serbuan SPRM itu. Bermula dari penguasaan 31.42% kepentingan sehinggalah penjualan saham keseluruhan milik Pengasas dan Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Hamdan Mohamad awal ogos lalu. Memiliki Ranhill bermakna menguasai kepentingan aset dan perniagaan.
Siapa yang bakal kena atau menjadi kambing hitam dalam YTL Corporation? Atau SPRM bakal menutup kes ini?
Apakah siasatan SPRM terhadap YTL akan menjejaskan projek YTL yang lain? atau YTL kekal monopoli semua projek seperti seperti sistem pengangkutan di negara ini
Projek pengangkutan Bandar Johor
Sebut apa saja, apa projek YTL tak dapat? Semua kenal YTL yang biasanya menggunakan kerabat raja dalam operandi perniagaannya. Namun siasatan SPRM baru-baru ini bukti istana tidak mencampuri urusan siasatan SPRM.
Terbaru Projek Rancangan Pengangkutan Bandar Johor yang kini dalam penilaian dan pemilihan kontraktor konsesi bagi melaksana projek ini. YTL adalah antara pelobi tegar projek pengangkutan Bandar Johor.
Setakat ini dua konsortium akhir disenarai pendek iaitu YTL Power yang dibawa oleh Datuk Daeng Malek Daeng Rahaman melawan konsortium Data Edge, Ancom Nylex Bhd, BTS (Thailand) & Tabung Haji (Pasukan TH).
Berikut adalah cadangan utama daripada kedua-dua pihak:
i. YTL & Daeng Malek mencadangkan sistem ART (Automated Rapid Transit) sepenuhnya untuk laluan sepanjang 50km.
ii. Konsortium TH mencadangkan gabungan ART dan LRT sebagai kompromi, di mana ART bertingkat dibina hanya sepanjang 10km.
Bagaimanapun, banyak pemain industri kurang berminat dengan ART kerana ia tidak mempunyai rekod prestasi yang terbukti. Tambahan pula, ART dianggap tidak sesuai untuk Johor Bahru kerana memerlukan trek yang sangat lebar seperti laluan jejambat yang sukar untuk direalisasikan kerana jalan-jalan di Johor baru terlalu sempit dan akan menyebabkan kesesakan jalan raya. Sebaliknya, LRT dianggap lebih sesuai kerana hanya memerlukan trek tunggal yang lebih kecil.
Mengapa ART membimbangkan?
Terbaru portal International Railway Journal (IRJ), hydrogeninsight dan media di China melaporkan mengenai penggantungan laluan Tram Hidrogen di China kerana kos yang sangat tinggi.
China telah menggantung perkhidmatan kereta api ringan berkuasa hidrogen pertama di negara itu kerana kekurangan penumpang dalam jangka masa panjang, menurut laporan media tempatan.
Gaoming Modern Rail (GMR) yang membuka laluan sejauh 6.5km bernilai $US 118 juta di Foshan, selatan China, pada tahun 2019, telah menghentikan operasi. Laluan ini menghubungkan pusat bandar Foshan dengan stesen kereta api Guangzhou Selatan dan mempunyai 10 hentian.
Kereta api tersebut dikendalikan dengan apa yang digambarkan sebagai “kereta api trem berkuasa hidrogen pertama di dunia yang dikendalikan secara komersial”. Hari ini nampaknya laluan ini didapati sukar menarik penumpang.
ART yang dibina oleh CRRC Qingdao Sifang, dengan Ballard membekalkan sel bahan api hidrogen nampaknya terhenti. Media tempatan, Yicai, melaporkan bahawa masih tidak jelas bila atau jika perkhidmatan ini akan disambung semula. Menurut kenyataan daripada GMR: “Penilaian lanjut akan menentukan bila tram ini akan memulakan semula operasinya.”
Apa akan jadi dengan projek ART lain di Malaysia seperti Sistem Pengangkutan Urban Kuching (KUTS) Green Line sejauh 30 kilometer yang menghubungkan Pending dan Damai (Sarawak). Begitu juga Putrajaya baru-baru ini?
Apakah Kerajaan Sarawak dan Perbadanan Putrajaya juga akan menanggung kos tinggi menyelenggara sistem penganggutan ini dan akhirnya seperti Gaoming Modern Rail (GMR) di Foshan?
Pemimpin Sarawak bersuara
Berita penggantungan laluan tram hidrogen demonstrasi pertama di dunia di Foshan, China itu telah merisaukan pemimpin Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri Pending, Violet Yong, menganggap berita ini sebagai ‘sangat membimbangkan’, memandangkan Sarawak sedang melaksanakan projek Autonomous Rapid Transit (ART) berkuasa hidrogen, yang menelan kos sekurang-kurangnya RM6 bilion daripada wang pembayar cukai.
“Saya amat bimbang apabila mengetahui bahawa selepas hampir lima tahun beroperasi, laluan trem hidrogen demonstrasi pertama di dunia yang terletak di Foshan telah digantung pada 6 Ogos, tanpa sebarang tempoh masa yang jelas untuk disambung semula disebabkan oleh jumlah penumpang yang rendah berpanjangan.
“Saya difahamkan bahawa laluan trem hidrogen Foshan itu telah dipamerkan oleh pengeluar kepada pemimpin negeri Sarawak sebagai contoh teknologi pengangkutan awam berkuasa hidrogen, yang telah mempengaruhi keputusan negeri untuk melaksanakan ART,” katanya.
Beliau berkata adalah penting bagi Kerajaan Sarawak untuk mendapatkan penjelasan daripada pengeluar dan inovator China, khususnya untuk menerangkan apa yang membuat mereka percaya bahawa ART berkuasa hidrogen boleh berjaya di Sarawak sedangkan laluan trem mereka sendiri digantung selepas bertahun-tahun percubaan.
“Saya berharap kerajaan Sarawak tidak tertipu oleh maklumat palsu atau pihak yang tidak bertanggungjawab ketika mencadanglan sistem pengangkutan ART berkuasa hidrogen.
“Kita telah melihat banyak negara yang meninggalkan bahan api hidrogen untuk pengangkutan awam kerana kekurangan keberkesanan dan kos yang tinggi.
Yong menegaskan bahawa daripada mempertaruhkan berbilion ringgit ke dalam projek yang boleh menjadi ‘gajah putih’, kerajaan Sarawak sepatutnya menumpukan kepada penggunaan sumber dengan bijak untuk membangunkan infrastruktur asas seperti jalan raya, jambatan, dan sekolah yang akan memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Projek ART satu penipuan
Menurut Ernest Wong seorang penyelidik sistem pengangkutan dan perancangan bandar dalam artikelnya di portal Scoop The ART of Deception? mengemukakan pandangan yang provokatif mengenai sistem Autonomous Rapid Transit (ART), dengan menimbulkan kebimbangan tentang kebolehpercayaan dan keberkesanannya. Beliau mengemukakan hujah bahawa ART, walaupun dipasarkan sebagai penyelesaian pengangkutan bandar yang revolusioner, mungkin tidak memenuhi jangkaan. Projek ART hanya sebuah seni penipuan!
Point-Point Utama yang Dikemukakan oleh Wong:
- Rekod Prestasi yang Belum Terbukti:
- ART sering dipromosikan sebagai alternatif kepada sistem kereta api ringan (LRT) tradisional, tetapi masih mempunyai aplikasi yang terhad. Tidak seperti Light Rail Transit (LRT), yang mempunyai sejarah dokumentasi kejayaan di seluruh dunia, sistem ART masih dianggap eksperimental.
- Wong berhujah bahawa bandar-bandar tidak seharusnya terburu-buru dalam melaksana projek ART tanpa memahami implikasi jangka panjangnya, terutamanya kerana tiada bandar utama yang bergantung sepenuhnya kepada ART sebagai mod pengangkutan awam utama.
- Kebimbangan Infrastruktur:
- Sistem ART memerlukan laluan khas yang luas kerana saiznya dan ruang yang diperlukan untuk trek bertingkat, seperti jambatan laluan tinggi. Ini menjadi masalah khususnya di kawasan bandar yang sesak seperti Johor Bahru di mana ruang jalan adalah terhad.
- Wong menegaskan bahawa cuba mengintegrasikan ART ke dalam jalan-jalan JB yang sudah sempit boleh menyebabkan kesesakan lebih teruk, sekaligus menafikan matlamat asal untuk mengurangkan trafik.
- Perbandingan ART dengan LRT:
- Sebaliknya, sistem LRT menggunakan trek yang lebih kecil dan lebih cekap, yang dilihat Wong lebih sesuai untuk kawasan bandar padat. Jejak trek LRT yang lebih kecil bermaksud gangguan yang lebih sedikit kepada infrastruktur sedia ada, mengurangkan kemungkinan berlakunya kesesakan lalu lintas.
- Keberkesanan LRT yang sudah terbukti, keperluan ruang yang lebih kecil, dan kejayaannya di bandar-bandar di seluruh dunia menjadikan ia pilihan yang lebih selamat untuk penyelesaian pengangkutan bandar di JB.
- Kepentingan Politik dan Kewangan:
- Wong mencadangkan bahawa dorongan untuk ART mungkin lebih didorong oleh kepentingan politik dan kewangan daripada apa yang benar-benar terbaik untuk bandar. Beliau berspekulasi bahawa tokoh-tokoh berkuasa atau konsortium dengan kepentingan tertentu mungkin mempromosikan ART walaupun terdapat kelemahannya.
- Ini menimbulkan persoalan sama ada pilihan sistem pengangkutan dibuat demi kepentingan awam atau terdapat motivasi lain yang mempengaruhi keputusan tersebut.
- Cabaran Bandar Johor Bahru:
- Landskap bandar JB yang dicirikan oleh jumlah trafik yang tinggi dan ruang jalan yang terhad, menimbulkan cabaran besar bagi mana-mana sistem pengangkutan baru. Wong berpendapat bahawa para pembuat keputusan perlu mempertimbangkan dengan teliti penyelesaian mana—ART atau LRT—yang sesuai dengan keperluan unik JB tanpa menyebabkan gangguan lebih lanjut.
- Perdebatan antara sistem ART bertingkat dan LRT masih berterusan, dengan kedua-dua pihak mengemukakan hujah yang meyakinkan. Walau bagaimanapun, Wong lebih cenderung kepada LRT, kerana ia dilihat sebagai pilihan yang lebih praktikal dan mampan untuk JB.
ART Percubaan gagal!
ART atau Bas Rapid Transit Iskandar Malaysia (IMBRT) pernah memulakan ujian percubaan fasa pertamanya pada April 2021.
Namun apa jadi?
Januari lalu Kerajaan Johor mengumumkan Projek Bas Rapid Transit Iskandar Malaysia (IMBRT) yang dirancang pada tahun 2016 telah dibatalkan kerana tidak dapat menangani isu kesesakan lalu lintas di Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata kira-kira 25% atau 13.79km laluan IMBRT perlu dikongsi dengan kenderaan lain di jalan raya.
“Ini mengganggu kecekapan perkhidmatan bas dan turut menjejaskan aliran trafik.
Beliau menjelaskan, keputusan kemudian dibuat untuk menjalankan kajian daya maju untuk membandingkan sistem bas rapid transit, transit cepat autonomi (ART), dan transit aliran ringan (LRT) bagi memilih pilihan pengangkutan awam terbaik untuk Iskandar Malaysia.
Kerajaan Johor menyokong cadangan ART bertingkat di Johor Bahru untuk menggantikan IMBRT setelah mengambil kira sistem Rapid Transit System (RTS) Link, yang dijadualkan siap pada akhir 2026. RTS Link ini akan menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru ke Woodlands, Singapura melalui rel.
“Aliran trafik yang padat dijangka di Johor Bahru jika kita tidak menyediakan pelan peleraian trafik apabila perkhidmatan rel itu bermula,” tambahnya.
Begitu banyak kelemahan ART dan paling jelas Gaoming Modern Rail (GMR) di Foshan, selatan China, menggantung projek yang dimulakan sejak 2019 kerana faktor kos yang tinggi. YTL mesti menggunakan segala cara untuk kerajaan memilihnya menggunakan ART sepenuhnya walaupun sebuah konsortium lagi mencadangkan gabungan keduanya ART bertingkat dan LRT. Rakyat perlukan perkhidmatan terbaik bukan membuang RM3 bilion hingga RM6 bilion.
Apakah kerajaan mahu mencipta satu lagi projek 1Bestarinet? Bayar berbilion tetapi merugikan kerajaan dan rakyat. Jika kos tinggi dan hanya satu pembekal tunggal ia akan menjejaskan kerajaan di kemudian hari. Kerajaan mesti belajar dari kesilapan projek 1Bestarinet YTL!